picture

News

 

Kempen Kawalan Tikus - Penyakit bawaan tikus ancam nyawa manusia

Posted on 28 Aug 2013
Source of News: Borneo Post Online

KANOWIT: Penyakit bawaan tikus boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia seterusnya mampu meragut nyawa, kata Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri.

Menurut statistik yang diperolehi, jelasnya, sehingga separuh pertama tahun ini, Sarawak telah mencatatkan empat kematian manakala tujuh kematian pada 2012 dan sembilan (2011) akibat penyakit berkenaan.

“Justeru, setiap lapisan masyarakat di sini khasnya harus menjaga tempat mereka dengan bersih untuk mengelak tikus memasuki kawasan mereka khususnya di rumah.

“Selain di tempat kediaman, kebersihan juga harus diterapkan atau diamalkan di tempat awam termasuk di premis-premis perniagaan bagi bersama-sama menghapuskan serangga perosak itu yang dianggap mengancam kesihatan manusia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kempen Kawalan Tikus anjuran Majlis Daerah Kanowit (MDK) bertempat di Tebingan Sungai Kanowit, pada Sabtu lepas.

Hadir sama Pegawai Daerah Kanowit Ibrahim Kipli, Timbalan Pengerusi MDK merangkap pengerusi jawatankuasa pengelola Kaunselor Benjamin Angki, Setiausaha MDK Ahmad Jerry Hashim, Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail serta para ketua masyarakat.

Ketika kempen itu, antara pengisian aktiviti termasuk penerangan tentang penyakit bawaan tikus oleh pihak Hospital Kanowit dan pameran bagi memupuk kesedaran masyarakat tentang bahaya penyakit bawaan tikus.

Selain itu, Maurice turut mengagihkan perangkap tikus kepada orang ramai terutama kepada para peniaga di pekan Kanowit dan beliau turut bersama-sama penganjur dan peserta bergotong-royong membersihkan kawasan di sekitar pekan itu.

Beliau berkata, program kawalan tikus wajar dijadikan sebagai amalan dan budaya di kalangan masyarakat setempat bagi memerangi pembiakan tikus daripada terus berleluasa.

“Masyarakat harus sedar bahawa tikus kian berbahaya kepada kesihatan kita dan wajar kita musnahkan pembiakannya di sekeliling kita bagi menjamin kesihatan,” tegasnya.

Sementara itu, beliau memuji peranan yang dimainkan MDK dengan kerjasama Hospital Kanowit dan Jabatan Bomba dalam melaksanakan kerja amal gotong-royong bagi kempen kali ini.

“Teruskan usaha ini dan jangan biarkannya setakat kempen ini sahaja. Semua orang mesti memainkan peranan dan tanggungjawab membersihkan kawasan masing-masing,” tambahnya.