picture

News

 

Pesta Kanowit promosi perpaduan masyarakat – Aaron Ago

Posted on 24 Sep 2023
Source of News: https://www.tvsarawak.my/2023/09/24/pesta-kanowit-promosi-perpaduan-masyarakat-aaron-ago/

KANOWIT, 24 Sept: Penganjuran Pesta Kanowit 2023 menjadi platform terbaik untuk mempromosikan perpaduan dalam kalangan masyarakat, kata Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau yang juga Menteri Perpaduan Negara berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi kepelbagaian persembahan kesenian, makanan serta acara sukan yang telah dianjurkan.

Aaron Ago yang juga Ahli Parlimen Kanowit berkata, pesta berkenaan sangat istimewa kerana menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat untuk sama-sama meraikan keindahan dan keragaman budaya serta warisan yang ada di sini.

 

“Ini merupakan satu cara untuk kita mengeratkan hubungan sesama rakyat.

“Kita ingin menjemput lebih ramai penduduk tempatan dan luar Kanowit untuk bersama-sama memeriahkan pesta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Kanowit di Waterfront Kanowit di sini hari ini.

Sementara itu, Aaron Ago berkata, pesta berkenaan mempunyai strategi serampang dua mata kerana turut mempromosikan Kanowit sebagai kawasan pelancongan di luar bandar.

 

Pesta berkenaan bertemakan Where Memories Are Made yang membawa maksud bahawa setiap pengunjung akan pulang bersama 1,001 kenangan manis.

“Untuk keluarga dan rakyat di Kanowit, terima kasih kerana memeriahkan pesta ini dengan menyertai pelbagai acara yang dianjurkan termasuklah powerboat racing dan sebagainya,” tambahnya.

Pesta berkenaan juga menyaksikan pelbagai pameran dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan Negara yang melibatkan pelbagai kumpulan etnik.

Aaron Ago turut berharap aktiviti sedemikian yang mampu menyemarakkan perpaduan akan diteruskan pada penganjuran Pesta Kanowit akan datang.-TVS