picture

News

 

Kanowit Festival 2023

Posted on 23 Sep 2023
Source of News: https://www.utusanborneo.com.my/2023/09/23/waterfront-kanowit-rancakkan-lagi-penganjuran-pesta-kanowit-2023

KANOWIT: Waterfront Kanowit yang siap dibina pada April lalu adalah tepat pada masanya bagi merancakkan lagi penganjuran Pesta Kanowit 2023.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong berkata, projek tersebut yang menelan belanja berjumlah RM5.3 juta kini digunakan sepenuhnya untuk penganjuran pesta yang berlangsung sejak 10 September lalu hingga 1 Oktober depan.

"Pembinaan Waterfront Kanowit atau Tebingan Kanowit pada mula diilhamkan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang yang juga Ahli Parlimen Kanowit dan kerajaan negeri telah menjadi agensi pelaksana projek ini.

"Kami di sini sangat gembira dengan projek ini kerana kami amat memerlukan sebuah tebingan untuk digunakan bagi penganjuran Pesta Kanowit setiap tahun.

"Sudah tentu penganjuran kali ini lebih besar dan pengunjung pesta juga sangat ramai yang menyaksikan perlumbaan bot laju dalam keadaan yang lebih selesa," katanya kepada pemberita selepas perasmian Pesta Kanowit 2023 di sini, hari ini.

Ditanya tentang masalah tempat parkir kereta yang dihadapi Pekan Kanowit, Allan berkataperancangan untuk mewujudkan lebih banyak tempat letak kereta di sini sedang dalam perancangan.

"Kekurangan tempat letak kereta di Kanowit merupakan satu isu yang perlu ditangani berikutan semakin banyak kenderaan masuk ke pekan ini setiap hari," jelasnya.

Katanya lagi, kewujudan jalan akses Sibu-Kapit juga menjadi penyumbang kepada masalah trafik yang semakin meningkat di pekan ini.

"Kami tidak menyangka projek jalan ini telah menyebabkan pekan Kanowit terkena tempias daripada pembangunan jalan tersebut.

"Bagaimanapun, pembinaan tempat letak kereta yang baharu masih dalam peringkat perancangan," ujarnya.

Beliau juga memberitahu terdapat cadangan untuk membina tempat parkir khas di Pekan Kanowit bagi mengatasi masalah tersebut.

"Kita masih mencari tempat sesuai untuk mewujudkan tempat parkir khas di pekan ini. Dan ia akan dibuat bila tiba masanya nanti.

"Ini kerana Pekan Kanowit bukan sahaja sesak pada setiap hujung minggu, tetapi setiap hari dipenuhi dengan kenderaan," katanya.

Sementara itu, Allan dalam ucapannya pada perasmian Pesta Kanowit 2023 berkata, penganjuran Pesta Kanowit bertujuan untuk menarik kedatangan pengunjung luar dearah Kanowit serta memberi peluang kepada masyarkat setempat untuk berniaga dan menambah pendapatan mereka.

Katanya, Pesta Kanowit 2023 berjaya menarik penyertaan 120 bot laju daripada pelbagai pasukan, antaranya dari Brunei, Miri, Bintulu dan Sibu.

Turut hadir ialah ADUN Ngemah Anyi Jana, Setiausaha Politik Premier Sarawak Susan Clement dan Pegawai Daerah Kanowit Jackline August selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kanowit 2023.