picture

News

 

Pesta Kanowit 2023 dari 16 Sept hingga 1 Okt sarat aktiviti menarik

Posted on 08 Sep 2023
Source of News: https://www.tvsarawak.my/2023/09/08/pesta-kanowit-2023-diadakan-dari-16-sept-hingga-1-okt-depan/

KANOWIT, 8 Sept: Perlumbaan bot laju antara tarikan utama Pesta Kanowit 2023 bermula 16 September hingga 1 Oktober 2023.

Pegawai Daerah Kanowit Jackline August mendedahkan pesta membuka tirai dengan Pesta Ria dan Pameran Perdagangan pada Ahad ini, 10 Sept di Dataran Kubu Emma di sini diikuti Pertandingan Nyanyian Lagu Asli.

“Kaki pancing juga akan berpeluang untuk merebut hadiah menarik dalam pertandingan memancing di Sungai Kanowit bermula jam 8 pagi pada 17 September ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan  mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Pesta Kanowit 2023 di Pejabat Majlis Daerah Kanowit (MDK) pada Khamis.

Menurutnya pesta yang dinanti-nantikan warga Kanowit itu bakal dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang serta disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong dan ADUN Ngemah Anyi Jana di Tebingan Kanowit pada 23 Sept.

“Upacara Tradisi (Adat Miring) bagi memohon keberkatan dan keselamatan semasa perlumbaan bot laju akan diadakan pada jam 6.00 pagi pada 23 Sept juga.

“Untuk memeriahkan lagi suasana pesta, pihak penganjur juga mengadakan pameran makanan tradisional, pertandingan futsal dan pertandingan Betaboh pada sebelah malamnya.

“Selain acara final perlumbaan bot laju, turut diadakan pada hari yang sama ialah Majlis Penangguhan Pesta Kanowit 2023 di Tebingan Kanowit dan Kanowit Unity Run di Pentas Utama, Dataran Kubu Emma pada 8 pagi 24 September,” katanya.

Antara aktiviti lain yang akan mengisi kalender Pesta Kanowit ialah Battle Of The Band (28 Sept), Kanowit Remote Control (RC) Boat, Sukan Rakyat, Strong Man, Ratu Pakaian Tradisional Pesta Kanowit 2023 yang masing-masingnya diadakan pada 30 September.

Pesta Kanowit tahun ini diakhiri dengan acara final RC Boat di Sungai Kanowit jam 8 pagi 1 Oktober. -TVS